REMAJA yang bermain permainan video berunsur ganas untuk tempoh beberapa tahun didapati cenderung berkelakuan kejam terhadap orang lain, menurut satu kajian terbaharu oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Brock di Kanada.
Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama menunjukkan kaitan jelas antara tempoh pendedahan kepada permainan video berunsur ganas secara berterusan dengan peningkatan kelakuan ganas.
Kanak-kanak perempuan yang bermain permainan komputer seperti itu semasa zaman persekolahan mereka juga didapati cenderung berkelakuan seperti kanak-kanak lelaki.
Keputusan kajian itu agak membimbangkan. Pada masa yang sama, ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa permainan ganas dipercayai mewujudkan perbuatan ganas yang bertujuan menangani konflik dan kemarahan.
Bukti menunjukkan bahawa mereka yang telah lama bermain permainan video itu cenderung untuk bertindak balas secara fizikal terhadap provokasi yang tidak disengajakan seperti terlanggar kereta lain.
Hasil kajian itu dibuat setelah seorang koroner, John Pollard, menggesa ibu bapa supaya menghentikan tabiat membenarkan permainan video yang biasa digunakan oleh golongan dewasa kepada anak-anak mereka.
Desakan itu dibuat ekoran kematian Callum Green, 14, dari Stockport, Kanada yang membunuh dirinya selepas bermain permainan video, Call of Duty yang memaparkan adegan ngeri iaitu tentera saling berbunuhan antara satu sama lain.
Ngeri
Callum dari Brinnington, Stockport, kerap bermain permainan itu dengan bapa tirinya, David White walaupun ia memaparkan adegan mengerikan tentera cuba untuk membunuh antara satu sama lain.
Selepas mendapati tingkah laku budak itu semakin teruk, ibunya bertindak mengurungnya sehinggalah dia ditemui tergantung di katilnya dengan tali leher sekolah menjerut lehernya.
John berpendapat, had umur perlu diletakkan pada pelbagai permainan komputer yang ada di pasaran sekarang.
“Saya sudah melihat bukti ada permainan komputer yang tidak sesuai.
“Perkara ini sangat penting. Remaja tidak boleh bermain atau mempunyai akses kepada bentuk permainan dewasa.
“Sekiranya ibu bapa membenarkan, mereka perlu memantau apa yang anak mereka pelajari daripada permainan video itu,” ujarnya.
Ibu Callum, Emma Green, mengakui dia mengetahui tentang saranan had umur permainan tersebut tetapi masih membenarkan anaknya itu bermain.
“Callum sudah berumur 14 tahun dan dia sangat matang. Kanak-kanak lain bermain permainan yang lebih teruk daripada itu.
“Saya membenarkannya bermain Call of Duty tetapi tidak permainan lain. Dia dibenarkan duduk di hadapan komputer selama beberapa jam sahaja.
“Adakah itu membuat saya menjadi seorang ibu atau bapa yang teruk?” ujarnya pada sesi inkues anaknya itu.
Callum pernah bertindak lari dari rumah selepas bertengkar dengan ibu bapanya apabila dia meminta kebenaran berulang kali untuk mempunyai anak bersama teman wanitanya yang berusia 13 tahun.
Pada hari sebelum kematiannya, Callum telah dikurung oleh ibu bapanya kerana dia pulang lewat dari rumah teman wanitanya. Pada sebelah petang pula, dia balik ke rumah dengan buku lali yang terseliuh dan bergaduh dengan adiknya.
Callum kemudian pergi ke bilik tidur untuk menggunakan komputernya, walaupun keluarganya percaya dia hanya melayari laman sosial Facebook dan YouTube.
“Adakah dia ada niat untuk membunuh dirinya atau hanya untuk memberi anda kejutan, kita tidak tahu,” jelas John.
Ibunya memberitahu, Callum tidak pernah memberikan sebarang petunjuk dia mahu membahayakan dirinya atau berasa tidak puas hati dengan keluarga. Dia juga tidak dibuli di sekolah.
Pada awal tahun ini, media massa melaporkan pelampau Kristian, Anders Behring Breivik yang membunuh 77 orang di Norway mendakwa dia telah bermain permainan video yang berunsur ganas bagi melatihnya melakukan serangan berdarah itu.
Di Perancis, pengganas Mohammed Merah juga bermain permainan video sebelum membunuh tiga askar dan empat orang awam termasuk tiga kanak-kanak di Toulouse pada Mac lalu.
No comments:
Post a Comment