SYARIKAT penyedia telefon bimbit pintar, Samsung Malaysia Electronics (SME) melancarkan tablet terbarunya, Galaxy Note 10.1 yang menjadi kesinambungan kepada kejayaan kategori Galaxy Note baru-baru ini.
Menariknya model terbaru itu dilengkapi fungsi pen stylus (S Pen) yang direka khas untuk pengguna meningkatkan kreativiti dan produktiviti mereka.
Kelebihan Galaxy Note 10.1 tertumpu kepada pengguna dalam kalangan ahli perniagaan dan golongan akademik.
Menurut Pengarah Urusan SME, Kwon Jae Hoon, tablet terbaru dari Samsung itu direka khusus bagi memenuhi keperluan spesifik pengguna sekali gus menawarkan pengalaman unik selain mencipta kandungan yang lebih ekspresif.
"Galaxy Note 10.1 ini turut dilengkapi dengan kemudahan WiFi dan menggabungkan keupayaan serta ciri-ciri intuitif menerusi skrin pelbagai guna.
"Dengan skrin bersaiz 10.1 inci, pengguna kini boleh menggunakan dua aplikasi berbeza secara serentak dengan lebih mudah sama ada menonton video atau melayari Internet di samping membuat catatan atau melukis idea menggunakan S Pen di sebelahnya," katanya.
Fungsi S Pen adalah bagi melancar dan menyokong penggunaan aplikasi yang terdapat pada Galaxy Note 10.1 yang lain seperti S Note, S Planner, fizik Crayon, Adobe Photoshop Touch dan Polaris Office.
Galaxy Note 10.1 merupakan komputer tablet pertama Samsung yang menggunakan sistem operasi Android 4.0 dengan kekuatan pemprosesan 1.4 giga herz (GHz) Quad Core serta RAM sebesar dua giga bait (GB).
Selain itu, Samsung turut menetapkan aplikasi baru dalam peranti tersebut dengan memperkenalkan Hab Pembelajaran bagi membolehkan pengguna mengakses kandungan multimedia berasaskan pendidikan sesuai untuk pasaran negara ini.
Galaxy Note 10.1 kini telah berada di pasaran dengan harga RM2,199 dan untuk maklumat lanjut, layari www.samsung.com/my.
No comments:
Post a Comment